Dec 11, 2011

Pra Sepak Mula Liga Super 2012: Felda United FC

Felda United FC boleh dikatakan sebuah pasukan yang masih muda dalam kancah Liga M berbanding pasukan-pasukan lain yang mempunyai reputasi, sejarah dan tradisi masing-masing. Felda United telah ditubuhkan dan dirasmikan secara gilang gemilang oleh Y.A.B Dato Sri Najib Tun Razak pada 19 Januari 2007 di Dewan Perdana Felda (patut la nak letak jugak nama united...ada iras-iras nama pasukan kesayangan dia tu) . Pada awalnya, kelab ini mengadakan perlawanan di Stadium Petronas, Bangi sebagai tuan rumah sebelum berpindah ke Stadium MINDEF, Kuala Lumpur. Apabila dinaikkan ke Liga Perdana, Felda United mula menggunakan Stadium KLFA, Cheras. Dikhabarkan bahawa Felda United akan mempunyai stadium bola sepak sendiri yang dinamakan Stadium Felda United yang dibangunkan di Bandar Tun Razak, Jengka.

Kelibat Felda United bermula dengan penyertaannya dalam Liga FAM pada tahun 2007 dan membuahkan hasil apabila berjaya melayakkan diri dalam Liga Perdana bagi musim seterusnya (2007/2008). Dalam saingan tersebut, Felda United berjaya menduduki tangga ke-6 liga dan layak ke pusingan suku akhir bagi Piala FA. Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah pasukan kelab yang merupakan penyertaan pertama dalam Liga Perdana.  

Bagi musim 2008/09, pasukan Felda United masih lagi berada pada kedudukan tangga keenam dalam saingan Liga. Bagi pasukan Piala Presiden pula, Felda United hanya menduduki tangga ke 8 daripada 13 pasukan yang bertanding dalam kumpulan B.  Bagi perlawanan Piala FA pula, pasukan ini hanya dapat melayakkan diri di Peringkat pusingan pertama sahaja.

Bermula musim 2009/2010, Felda United mula bangkit dengan garang setelah bermain sebanyak 22 kali permainan, mengumpul 50 mata hasil daripada 15 kemenangan, 5 seri, 2 kalah dan telah berjaya menduduki tangga teratas dari 12 pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Perdana 2009/2010 dan dinobatkan selaku Juara Liga Perdana. Dengan gelaran juara ini, Felda United layak secara merit menyertai Piala Malaysia 2010 dan layak secara automatik untuk menyertai Liga Super 2010/2011.

Sebagai pendatang baru dalam saingan Liga Super 2011, menamatkan saingan di tangga ke-11 boleh dikatakan pencapaian yang sedang-sedang saja. Jika diukur pada setiap perlawanan yang diharungi pada musim lalu, kelab ini adalah antara pasukan yang kuat dengan dibarisi pemain-pemain yang berpengalaman seperti Liew Kit Kong, Mohd Hamsani Ahmad, Mohd Nizaruddin Yusoff dan lain-lain. Namun keciciran banyak mata yang berharga menyukarkan pasukan ini untuk menduduki tempat yang lebih baik.

Bagi saingan liga super 2012, Felda United yang dibimbing jurulatih E.Elavarasan memasang impian untuk menjadi pencabar terkuat merebut gelaran juara liga. Dengan selogan "serang bang serang", dijangka Felda United dapat mengharungi musim 2012 dengan gemilang.

(sumber: www.felda.net.my)

2 ulasan:

whose said...

Tunjukkan bahawa felda united mmpu bagi saingan...Teruskan berusha...

penglipurlara said...

@whose
betul tu..buktikan yang pasukan berstatus kelab juga mampu mencipta sejarah yang tersendiri dalam kancah liga domestik

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...