Feb 6, 2012

Goodbye London

Pintu untuk skuad olimpik negara layak ke Olimpik London 2012 sudah tertutup rapat setelah mengalami kekalahan ke-4 dalam saingan kumpulan C sekaligus meletakkan kedudukan pasukan di tempat tercorot tanpa sebarang mata dipungut. Memang amat pedih dan pahit untuk menerima realiti ini. Ada pihak mengatakan bola sepak Malaysia sudah ada peningkatan, ada yang menyatakan sebaliknya dan ada yang tak ambil peduli pun. Realitinya, bola sepak Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara Asia yang lain.

 Kini, kita hanya mampu sandarkan pada kenangan lalu bahawa skuad Harimau Malaya adalah salah satu pasukan terkuat Asia, namun kegemilangan yang lepas akan terus menjadi artifak sejarah negara jika tiada usaha-usaha yang tepat untuk menafikan bahawa Harimau Malaya bukanlah sebuah pasukan yang hanya bersandarkan pada kenangan. Mungkin pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran bola sepak Malaysia akan mengeluarkan hujah-hujah yang sama setiap kali mengalami kegagalan dan itu belum cukup untuk menjamin kebangkitan yang sebenar.

Apakah punca yang menyekat bola sepak Malaysia menuju ke arah kejayaan dan kegemilangan setanding dengan kehebatan negara-negara lain? Adakah disebabkan kedudukan geografi yang tidak strategik? adakah kerana pemain-pemain Malaysia katik-katik belaka? atau apakah kerana faktor pemakanan? Jawapannya adalah berpunca daripada kelemahan pentadbiran daripada badan-badan gabungan (FA negeri) hingga ke badan induk (FAM). Di peringkat negeri masih dibelenggu dengan kewangan yang tidak mencukupi malah yang lebih parah menjadikan jawatan dalam persatuan bola sepak negeri sebagai gelanggang politik untuk meraih kepentingan peribadi.

 Kelemahan-kelemahan pentadbiran ini secara tidak langsung memberi impak negatif terhadap mutu bola sepak Malaysia. Tiada gunanya menyingkir jurulatih, merombak pasukan, mahupun melantik pakar-pakar taktikal dari luar negara jika pihak yang gagal membawa sebarang kejayaan yang benar-benar membanggakan setelah sekian lama menerajui badan induk bola sepak Malaysia masih kekal bersemayam di atas kerusi empuk di Kelana Jaya. Oleh itu, bersama-samalah kita rakyat Malaysia bersandarkan pada harapan agar bola sepak Malaysia terus maju....





1 ulasan:

Anonymous said...

betul2..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...