Jan 29, 2012

Kedah FA - antara maruah dan harapan

Momentum kemajuan bola sepak Kedah sepatutnya berterusan hingga ke peringkat tertinggi dalam saingan domestik mahupun di peringkat antarabangsa, namun, sebaliknya yang berlaku. Berpunca daripada kelemahan pengurusan dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjadikan skuad Hijau Kuning lemah tidak bermaya.

Pada penghujung 80-an adalah era kebangkitan pasukan ini selaku salah satu pasukan terkuat dalam saingan bola sepak semi-pro ketika itu. Pentas final Piala Malaysia 1987,1988,1989 menyaksikan pasukan Kedah beraksi bagi merebut piala paling berprestij itu tetapi hanya sekadar bergelar naib johan, tewas kepada pasukan Kuala Lumpur. Pada tahun 1990, pasukan Kedah kembali lagi di pentas final dan berjaya merangkul gelaran juara Piala Malaysia selepas menewaskan Singapura 3-1 dan mengulangi sekali lagi pada tahun 1993 dengan menewaskan pasukan yang sama..

  Pada tahun 2004, Liga Super diperkenalkan namun, Kedah ketika itu melalui zaman gelap sehingga terjerumus ke kancah liga perdana 2005. Walaupun tersingkir ke liga perdana, pasukan Kedah layak ke final Piala Malaysia 2004 namun tewas kepada Perlis 0-1. Gelombang kedua kebangkitan Kedah selaku gergasi bola sepak utara bermula selepas itu. Kejayaan demi kejayaan dituai hasil daripada pentadbiran dan pengurusan pasukan yang cekap dan efisien. Kedah kembali ke saingan Liga Super 2006/2007 selaku juara Liga Perdana 2005.

 Tahun 2007 menjadi tahun gemilang pasukan Kedah dengan menyapu bersih kejuaraan dengan menjadi johan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dan layak bersaing dalam Piala AFC. Rekod cemerlang diteruskan lagi pada tahun 2008 apabila Kedah berjaya pertahankan semua piala yang dimenangi dan menjadi pasukan pertama di Malaysia mencipta gelaran double treble. Dalam saingan Piala AFC pula, Kedah mengakhiri perjuangan di peringkat suku akhir-juga sesuatu yang boleh dibanggakan.

 Kemerosotan prestasi pasukan Kedah bermula pada 2009 dengan terlepas semua gelaran juara yang dicapai dan menamatkan saingan liga di tangga ke 5. Pelbagai kontroversi berlaku dalam kem pasukan Kedah dan kemuncaknya ketua jurulatih Mohd Azraii Khor Abdullah meletak jawatan. Prestasi yang hambar terus menghantui pasukan pada tahun-tahun berikutnya dengan kesukaran mencipta kemenangan di gelanggang sendiri yang sepatutnya keramat iaitu Stadium Darul Aman.

Aksi hambar dan tidak konsisten Kedah memaksa pihak pengurusan KFA menggugurkan ketua jurulatih Ahmad Yusuf dan menggantikan dengan Wan Jamak Wan Hasan selaku ketua jurulatih yang baru. Dengan penukaran jurulatih ini, diharap Kedah kembali di tempat asal sebagai sebuah pasukan yang patut digeruni lawan.

 Jika diteliti liku-liku kejayaan kedah, rahsia untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat adalah bermula dengan pengurusan yang cekap dan ada sasaran atau matlamat yang ingin dicapai. Setiap matlamat mesti ada perancangan rapi untuk merealisasikannya supaya tidak menjadi angan-angan mat jenin. KFA ketika ini berjaya meletakkan sasaran untuk merangkul sekurang-kurangnya satu piala tetapi perancangan untuk berjaya adalah ke 'laut'. Buktinya, setelah kehilangan pemain-pemain berbakat yang berhijrah ke pasukan lain, KFA gagal membawa masuk pemain yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan pasukan. Selain itu, tiada pemain muda berkualiti yang di bawa masuk ke pasukan Kedah.

 Seperkara lagi, kegagalan pemimpin dalam KFA akan mengakibatkan keseluruhan pasukan akan turut sama mengecapi kegagalan. Perkara ini jelas kerana pihak-pihak yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik masih memegang jawatan tersebut. Pelbagai alasan diberi bagi menutup kelemahan pengurusan dan bukannya mencari jalan penyelesaian terhadap kelemahan dan kekurangan.



 Kesimpulannya, kejayaan bola sepak Kedah yang dikecapi pada masa lalu perlu dijadikan pencetus kepada kebangkitan di masa hadapan. KFA perlu dirombak akibat kegagalan membawa kesinambungan kejayaan lalu. Pihak-pihak tertentu yang gagal merencana pembangunan bola sepak negeri Kedah perlu melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada yang lebih layak. Janganlah kerana sikap ego dan tamak anda 'membunuh' sang kenari yang kian parah.


0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...