Jun 18, 2012

Lapanbelas Jun


Pada suatu masa dahulu, ketika manusia di bumi Malaysia sibuk dengan wawasan 2020, aku telah selamat dilahirkan ke dunia ini. Bermula daripada 0, aku belajar mengenali dunia dengan perlahan-lahan. Emak dan ayah menjadi pembimbing aku dalam proses tumbesaran minda. Sehingga hari ini, telah genap 28 tahun aku dilahirkan, masih tak terbalas budi baik emak dan ayah bersusah payah membesarkan aku.

Aku bersyukur masih dapat melihat dunia hari ini,
Aku bersyukur masih dapat mendengar hari ini,
Aku bersyukur masih diberi peluang menikmati rezeki-Mu.
Entah esok akan ada lagi peluang ini,
aku tak tahu.
 
Menyingkap kembali perjalanan hidup aku di atas muka bumi ini selama 28 tahun, membuatkan aku berasa amat kerdil. Segala kekhilafan entah terampun atau tidak. Aku tak pasti.

Terima kasih emak kerana melahirkan,
Terima kasih ayah kerana berkorban,
Terima kasih kawan memberi tauladan,
Terima kasih juga kepada-Mu, ya Tuhan.

Apr 13, 2012

Kira Ok La 156 Daripada 250

Dikhabarkan ranking FIFA, kedudukan kesultanan bola sepak Malaysia jatuh lagi ke kedudukan yang mendatangkan rasa tidak puas hati dan kecewa kepada rakyat jelata bola sepak tempatan. Walaupun begitu, para pemerintah kesultanan bola sepak malaysia menganggap kedudukan ranking tidak begitu penting bagi "K.P.I" mereka dan menyarankan rakyat jelata bola sepak jangan panik dan jangan menggelabah. "Kesultanan bola sepak ada perancangan tersendiri dan kami telah pun mengatur beberapa perancangan dan strategi tersendiri" ujar panglima perang.

sebenarnya alasan tersebut merupakan alasan yang sama sejak berkurun yang lalu ketika empayar kesultanan bolasepak seluas mata memandang hinggalah kini empayar kesultanan hanya hidup segan, berundur tak mahu. Berbalik kepada perancangan dan strategi yang diutarakan, dikhabarkan juga daripada para cerdik pandai bahawa bagi memperbaiki kedudukan dan mutu permainan, tahun ini sekali lagi kesultanan bola sepak yang kita sayangi membawa skuad meriam daripada tanah england untuk dipertontonkan kepada rakyat jelata. Ini hanyalah helah, maka akan berseronoklah rakyat jelata melompat gembira melihat aksi orang asing tersebut sehingga terlupa kebebalan pentadbiran kesultanan bola sepak nun di kelana jaya sana.




Mar 17, 2012

Cuti Sekolah, Tok Kadi Sibuk

gambar hiasan 

  Musim cuti sekolah yang berlalu dan akan berakhir esok, bukan sahaja membuatkan para pelajar sekolah bergembira menikmati cuti dengan berbagai-bagai aktiviti membina sahsiah diri malahan ada juga yang bergembira dengan membuat aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah.

  Kegembiraan kanak-kanak bercuti sekolah juga turut sama dikongsi oleh pasangan pengantin baru yang melangsungkan pernikahan seiring dengan musim cuti sekolah. Aku menerima banyak jemputan daripada kenalan dan sahabat-sahabat yang berkahwin pada cuti sekolah yang lepas. Nak penuhi semua undangan tak dapatlah, sebab ada undangan yang jauh jaraknya. Walaubagaimanapun, aku cuba juga untuk menghadiri majlis-majlis walimatul urus yang berdekatan disebabkan terpaksa menghadkan jarak perjalanan kerana tugas hakiki juga tak boleh diabaikan. 

 Buat pasangan dan sahabat handai yang baru menempuhi alam rumah tangga, aku ucapkan semoga bahagia berkekalan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...